SILA KLIK IKLAN INI

Monday, September 19, 2011

Inspirasi Kapten


oleh: djzuwea
mugenzonan2011@gmail.com


Malam gemilang Piya (Foto oleh: Shazli  Shamsuddin Photography)
KOTA BHARU - 10 minit terakhir membuktikan Muhd Badri Radzi(Piya) sememangnya layak memegang lilitan 'Kapten' dan karekter beliau selaku watak utama dalam kemenangan bergaya pasukan The Red Warriors ke atas Sarawak wajar dipuji. 2 gol jaringan beliau dan 2 'assist' membuatkan penonton tidak kira sama ada yang berada di stadium dan yang menonton di kaca tv tergamam dengan persembahan Piya.


Kelantan yang turun dalam keadaan tertekan setelah tewas kepada pasukan Felda United sebelum ini bermula garang dalam mencari gol namun benteng pertahanan Sarawak begitu kebal dalam menahan asakan pasukan tuan rumah. Serangan bertali arus namun tiada satu pun yang dapat menembusi pertahanan Bujang Senang. Detik berlalu tekanan yang berat semakin dirasai oleh Piya dan rakan-rakan tatkala para penyokong sudah semakin hilang sabar. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan masih 0-0 dan wajah muram para pemain menuju ke bilik persalinan.

Separuh masa kedua bermula dengan Kelantan terus melancarkan serangan untuk mencari gol sekaligus dapat meredakan tekanan yang semakin hebat. Status Juara bertahan Piala Malaysia langsung tidak membuatkan barisan pertahanan Bujang Senang goyah dan sesekali melancarkan serangan pantas yang hampir-hampir memerangkap Kelantan dalam keghairahan melancarkan serangan. Setelah satu jam masa berlalu, Datuk M.Karathu memberi isyarat untuk menukarkan pemain kerana masa sudah semakin suntuk dan perlunya pemain 'fresh legs' membantu pasukan. Azamudin, Nurul Azwan Roya dan Shakir dikeluarkan dan memberi laluan kepada Ramzul, Danial Fazly dan Nizad Ayub memberi sengat baru untuk jentera serangan Red Warriors.

Segalanya bermula di minit ke-81, pergelutan di depan pintu gol menyaksikan Badri Razi menggelecek 3 pertahanan Sarawak dan melepaskan rembatan kencang kaki kiri dari sebelah kanan pintu gol Sarawak menyaksikan jaring bergegar melegakan tekanan yang dirasai sebelum ini dan gol ini juga diraikan oleh seluruh penyokong pasukan The Red Warriors. Raut muka para pemain terutama Piya semakin yakin menandakan mereka telah kembali menemui rentak Juara. Dan kali ini Piya sekali lagi membuktikan beliau adalah antara salah seorang pemain tengah Malaysia yang hebat dengan lorongan kepada Norshahrul Idlan Talaha dan Danial Fazly pada minit ke-87 dan 88 untuk gol kedua dan ketiga Kelantan.

Malam gemilang Piya dilengkapkan dengan satu rembatan kencang dari dalam kotak penalti pasukan Sarawak menggegarkan jaring seolah-olah memberi laungan amaran kepada pasukan-pasukan lain bahawa Sang Kijang tidak akan melepaskan Piala Malaysia kali ini. Tidak dinafikan 10 minit terakhir menyaksikan keajaiban sentuhan Piya membuatkan penonton terpukau dengan karekter beliau. 

TRWFM mengucapkan tahniah untuk Badri Razi (Piya) dan rakan-rakan serta pengurusan The Red Warriors di atas kemenangan ini dan kami doakan rentak Juara ini berterusan sehingga TRW mendakap sekali lagi Piala Malaysia 2011. Together We Go More.