design by: Tengku Chan |
KOTA BHARU - Tanggal 26 Januari 2011, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan secara ekslusif di rancangan Formasi perlantikan Datuk M. Karathu sebagai pengganti B. Sathianathan sebagai pengendali baru pasukan The Red Warriors. Selang beberapa hari selepas itu tanpa di duga sentuhan Datuk M.Karathu selepas meninggalkan Kelantan 18 tahun yang lalu, membawa trofi Piala Sumbangsih yang pertama ke Negeri Cik Siti Wan Kembang. Seumpama bermimpi kerana kejayaan manis menjulang Piala Sumbangsih apabila menewaskan Red Giants di Stadium Shah Alam.
Mungkin diperkatakan bahawa pasukan yang dibimbing beliau merupakan pasukan yang dibentuk Coach B.Sathianathan, namun sentuhan dan garapan Datuk M.Karathu jelas beliau adalah jurulatih yang luas pengalaman.
Murah dengan senyuman dan tidak lokek dengan curahan ilmu kejurulatihan meskipun hanya berbual dangan peminat setia Wira Merah. Setiap kali berpeluang berbicara dengan Datuk M.Karathu sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa rentak kemenangan akan berterusan di bawah bimbingan beliau. Di dalam saingan Piala FA sekali lagi pasukan The Red Warriors bertemu Red Giants di peringkat Separuh Akhir di mana saingan pertama berlangsung di Shah Alam pada 13 Mei 2011. Tarikh yang keramat itulah menjadi saksi Sang Kijang membenam Selangor 5-1 dan mara ke pentas Final Piala FA buat kali yang kedua dalam tempoh tiga tahun.
Bermain dalam jadual liga yang padat berikutan kemaraan Pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda dalam saingan Kelayakan Piala Dunia dan Olimpik memerlukan kepakaran jurulatih yang berpengalaman seperti Datuk M.Karathu dalam misi mendakap kejuaraan sulung Liga Super. Setelah mengharungi 26 perlawanan getir dengan 17 kemenangan, 5 seri dan tewas 4 kali, Kelantan dinobatkan Juara Baru Liga Super 2011. Corak serangan pantas yang diterapkan menyaksikan pasukan Kelantan membolosi gol lawan sebanyak 52 gol. Dengan muncul sebagai juara liga Super maka musim 2012 melakar sejarah tersendiri melangkah ke peringkat Asia. Namun begitu misi mempertahankan Piala Malaysia menemui jalan buntu apabila cabaran Wira Merah disekat musuh setempat Terengganu di saingan Suku Akhir. Dan selang beberapa hari selepas itu Datuk M.Karathu mengumumkan beliau akan mengundurkan diri. Berita yang mengejutkan semua peminat setia TRW. Pun begitu para penyokong TRW harus merelakan hajat Datuk M.Karathu.
Berdasarkan perkiraan IFFHS sehingga 30 September 2011, di bawah bimbingan B.Sathianathan dan Datuk M.Karathu telah meletakkan Kelantan di tangga ke-7 terbaik ASEAN dan tangga ke-317 terbaik ANTARABANGSA. Satu mercu tanda yang tidak dapat dinafikan bahawa Kelantan sememangnya berhak dinobatkan sedemikian. Sentuhan Datuk M.Karathu juga menyaksikan pertambahan pemain TRW untuk tugasan pasukan negara. Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat, Farisham Ismail, Rizal Fahmi Rosid, Daudsu Jamaludin, Subramaniam Sooryapparad, Shakir Shaari, Badri Razi, Chanturu, Izuan Solahudin dan yang terbaru Aziz Ismail membuktikannya tanpa perlu diragui lagi.
Tempoh tidak sampai 9 bulan dan semua penanda aras tersebut membuktikan Datuk M.Karathu adalah antara jurulatih Malaysia yang terbaik. Jasa Datuk M.Karathu untuk Kelantan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. TRWFM mengucapkan jutaan Terima Kasih dan selamat maju jaya untuk Datuk M.Karathu. Together We Go More.
No comments:
Post a Comment