Aksi tegang di SSINS, Kuala Terengganu |
KOTA BHARU - Pertembungan 'East Coast Derby' di antara Terengganu dan Kelantan sememangnya sejak dari dahulu lagi akan berlangsung dalam suasana yang tegang. Tambah pula pada tahun ini kedua-dua pasukan merupakan finalist Piala FA dan permusuhan berterusan dalam saingan Piala Malaysia di peringkat Suku Akhir. Namun perlawanan yang sepatutnya berlangsung atas dasar semangat kesukanan bertukar menjadi medan yang penuh emosi berikutan beberapa insiden yang tidak diingini berlaku. Sudah pastinya skuad Kijang yang lebih dikenali sebagai Red Warriors terpaksa menerima tamparan hebat berikutan beberapa pemain tonggak tidak dapat beraksi pada perlawanan kedua Suku Akhir Piala Malaysia di SSMIV, Kota Bharu jumaat ini.
Pertembungan musuh setempat ini seharusnya diadili oleh pengadil berpengalaman dan mampu untuk mengawal emosi pemain kedua-dua pasukan. Agak hairan juga kerana tiada siaran langsung atau tertunda bagi perlawanan sehebat ini di kaca tv untuk diadili oleh seluruh rakyat Malaysia. Hanya 4 perlawanan Suku Akhir namun 3 sahaja yang disiarkan oleh Astro dan RTM. Dan memang pelik kerana 1 perlawanan yang tidak disiarkan ini mempunyai banyak adegan yang patut ditonton dan dinilai oleh peminat bola sepak di Malaysia. Dari keadaan fasiliti stadium sehinggalah ke mutu pengadilan yang profesional harus dinilai.
Mungkin kejayaan Sang Kijang semakin dicemburui oleh segelintir pihak yang sanggup melakukan perang psikologi yang kotor semata-mata untuk menimbulkan kemarahan peminat setia The Red Warriors. Halangan dan layanan yang teruk kepada penyokong setia TRW untuk sampai ke SSINS dengan selesa patut di ambil perhatian oleh pihak berwajib untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Tugas berat dipikul oleh Datuk Karathu untuk menurunkan barisan terkuat Pahlawan Merah jumaat ini untuk misi kemenangan dan seterusnya menongkah laluan untuk mempertahankan Piala Malaysia di bumi Kelantan. Kehilangan Shakir, Aziz Ismail, Zairul Fitri, Chanturu dan Daudsu jika dilihat di atas kertas Sang Kijang sudah tempang namun 5 Pahlawan Merah yang akan mengisi tempat ini wajib meneruskan kesinambungan berteraskan Semangat Tok Janggut yang mengalir dalam jiwa dan raga. Resam apabila dilukai, amukan Kelantan sememangnya digeruni pihak lawan. Inspirasi Kapten Badri Razi(Piya) untuk merencanakan gerak permainan dan ketajaman sentuhan pemusnah Norshahrul Idlan Talaha amat ditagih untuk menjayakan misi ini.
Kepada Pahlawan-pahlawan Merah yang akan menggalas cabaran jumaat ini, sudah pastinya semua penyokong setia akan bersama di SSMIV. Ayuh bangkit bersama demi Kelantan tercinta. Julanglah nama Kelantan dengan kemegahan. GOMO KELATE GOMO.
No comments:
Post a Comment